Friday, March 25, 2011

Keputusan SPM terbaik sejak 2006

Dipetik dari Berita Harian Online 24 Mac 2011

Pencapaian, kelulusan calon luar bandar makin meningkat

PUTRAJAYA: Seramai 10,488 calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berjaya mendapat keputusan gred cemerlang (A+,A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, daripada jumlah itu, 9,239 calon membabitkan sekolah KPM dan keputusan itu meningkat berbanding 7,987 pada 2009.

Seramai 403 calon memperoleh gred cemerlang tertinggi (semua A+) bagi semua mata pelajaran berbanding 255 calon pada 2009.

Beliau berkata, pencapaian calon luar bandar juga menunjukkan peningkatan termasuk mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sains yang lebih baik berbanding calon bandar, tetapi usaha perlu dipertingkatkan untuk merapatkan jurang antara pelajar di kedua-dua lokasi khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

“Pencapaian keseluruhan SPM 2010 adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun dengan 368,559 calon berjaya memperoleh sijil berbanding 364,046 calon pada tahun sebelumnya.

"Ini tahun kedua sistem penggredan baru diguna pakai dan ia dapat mendiskriminasi lebih tepat pencapaian calon yang memperoleh keputusan cemerlang, selain ia turut dipengaruhi pelaksanaan Dasar Mengehadkan Jumlah Maksimum 10 Mata Pelajaran dan Penambahan Dua Mata Pelajaran Tambahan Dalam SPM yang mula diperkenalkan tahun lalu," katanya pada sidang media mengenai analisis keputusan SPM 2010 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Sufaat Tumin.
Abdul Ghafar berkata, satu majlis khas mengumumkan sekolah dan pelajar terbaik akan diadakan 1 April ini di Lembaga Peperiksaan Malaysia, Jalan Duta, Kuala Lumpur dan bakal dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran.

Sebanyak 467,970 calon mendaftar menduduki SPM di 3,594 pusat peperiksaan di seluruh negara pada 23 November hingga 20 Disember lalu.

Daripada jumlah itu, 410,083 calon sekolah KPM, MRSM dan Sekolah Perantis Tentera (7,216), Sekolah Menengah Agama Negeri (8,127), Sekolah Menengah Agama Rakyat dan Sekolah Swasta (11,248) serta persendirian perseorangan (31,296).

Mengulas pencapaian sekolah, beliau berkata, ia dinilai berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) dan 67 sekolah berjaya mencapai tahap cemerlang, baik (340), memuaskan (1,683) dan berpotensi (2,156).

Katanya, keputusan ini hasil tawaran baru antara sekolah dan kementerian dalam usaha meningkatkan prestasi akademik sekolah.

"Prestasi mata pelajaran kali ini juga amat membanggakan apabila 81 daripada 103 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi menggalakkan berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) dan penilaian berdasarkan empat kategori iaitu cemerlang, kepujian, lulus dan gagal," katanya.

Bagi calon keperluan khas, Abdul Ghafar berkata, 319 daripada 629 calon SPM 2010, berjaya memperoleh sijil SPM berbanding 251 calon pada 2009.

Katanya, tujuh calon iaitu tiga calon rabun, buta (2) dan masing-masing satu calon pekak serta lain-lain kecacatan berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran.

Beliau berkata, pencapaian calon ini membuktikan mereka turut mendapat peluang sama seperti calon lain dengan adanya kemudahan termasuk kertas soalan braille, moderasi dan cetakan besar, selain diberi masa berbeza menjawab soalan berbanding calon norma.