Thursday, March 22, 2012

SPM terbaik tempoh lima tahun

Gred Purata Nasional (GPN) capai 5.04 tahun lalu

PUTRAJAYA: Pencapaian Gred Purata Nasional (GPN) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun dengan 559 calon berjaya memperoleh Gred Cemerlang Tertinggi A+ bagi semua mata pelajaran yang diambil.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud, berkata indeks keseluruhan GPN tahun lalu mencapai 5.04 berbanding 5.19 pada tahun sebelumnya Beliau berkata, daripada 559 calon yang mendapat Gred Cemerlang Tertinggi, 506 adalah calon Sekolah Kementerian Pelajaran yang meningkat sebanyak 143 calon, berbanding 363 pada 2010.
Katanya, 53 lagi calon adalah daripada sekolah lain yang turut meningkat berbanding 40 calon pada 2010.

“Bagi prestasi mengikut mata pelajaran teras dan lokasi, pencapaian calon luar bandar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tidak menunjukkan perbezaan yang ketara, tetapi pencapaian subjek Sains lebih baik berbanding calon bandar.

“Bagaimanapun, usaha perlu dipertingkatkan untuk merapatkan jurang dengan calon bandar bagi subjek Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral,” katanya ketika mengumumkan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2011, di sini, semalam.

Mengikut kaedah yang diguna pakai oleh Kementerian Pelajaran dan Lembaga Peperiksaan, semakin kecil nilai GPN, lebih cemerlang pencapaian keputusan keseluruhan.
Sebanyak 468,808 calon mendaftar untuk menduduki SPM pada 2011, berbanding 467,970 pada 2010 di sebanyak 3,533 pusat peperiksaan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 412,028 adalah calon sekolah kementerian, manakala 7,155 calon Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Perantis Tentera.

Baki 7,925 adalah calon Sekolah Menengah Agama Negeri; 12,487 calon Sekolah Menengah Agama Rakyat serta sekolah swasta dan 29,213 calon persendirian.

Mengenai pencapaian sekolah, beliau berkata, ia dinilai berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) dengan 80 sekolah mencapai Cemerlang, 400 Baik, 1,679 Memuaskan dan 49 tahap Berpotensi.

Katanya, prestasi mata pelajaran yang dinilai menerusi Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) pula meningkat 63 daripada 112 mata pelajaran berdasarkan penilaian empat kategori iaitu cemerlang, kepujian, lulus dan gagal.

Selain itu, seramai 343 daripada 662 calon berkeperluan khas berjaya mendapat sijil berbanding 319 pada 2010.

Tujuh calon iaitu tiga calon rabun, seorang cacat pendengaran dan tiga calon kecacatan lain berjaya meraih gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Oleh Basir Zahrom
22/03/2012
Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment